KUALA LUMPUR – Bakal memasuki trimester ketiga kehamilan, pelakon Siti Saleha mengakui belum membuat sebarang persiapan untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertamanya.
Namun, Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 35, memaklumkan lebih memberi fokus terhadap penjagaan kesihatan tubuh bagi melancarkan proses bersalin tidak lama lagi.
“Saya tak beli apa-apa lagi. Selepas habis menjalani penggambaran dua bulan lalu, saya hanya fokus berjalan dan minggu hadapan (minggu ini), saya akan ke Paris.
“Hanya buat persediaan supaya lebih aktif. Saya banyak berjalan dan bersenam sebab rasa perlu ‘push’ badan tetapi bukan secara melampau.
“Saya bersenam banyak pun sebab nak senang melahirkan. Lagipun dulu sebelum hamil saya sangat aktif jadi tidak mahu hilang momentum,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku itu akan mengadakan majlis mendedahkan jantina anak bersama keluarga mengikut adat budaya Jawa.
“Bulan hadapan saya buat ‘gender reveal’. Keluarga suami pula keturunan Jawa, jadi saya akan buat upacara mitoni (tradisi Jawa bagi merayakan kehamilan ibu).
“Nanti saya akan kongsikan dalam media sosial mengenai jantina anak. Buat masa sekarang, saya rahsiakan dahulu,” jelasnya.
Mengulas mengenai perubahan diri, Saleha mengakui emosi tidak banyak berubah terhadap suaminya, namun sesekali mudah meluahkan rasa kepada pengurusnya.
“Emosi saya tidak berubah secara ketara terhadap suami tetapi kepada pengurus saya. Kalau ada apa-apa yang ‘annoying’ (merimaskan), saya lepaskan kepadanya.
“Perubahan bentuk badan lebih ketara. Saya pula tak nak jadi terlalu obses dengan penimbang berat.
“Alhamdulillah, setakat ini berat saya dan bayi cantik. Doktor pun cakap okey saja,” ujarnya pada majlis pelancaran Muaz Exclusive Brand baru-baru ini.
Bercakap mengenai Muaz Exclusive Brand, Saleha dilantik menjadu duta bagi jenama pakaian berkenaan bersama pelakon Datuk Aaron Aziz.
Sebelum ini, Saleha mengesahkan sudah berbadan dua selepas tular satu video menunjukkan dia seakan-akan mempunyai ‘baby bump’ ketika mengenakan busana hitam di sebuah acara filem.
Begitupun, Bintang Asia Terbaik – Malaysia Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Korea Selatan tahun lalu itu memberi bayangan hamil kerana bakal bercuti panjang selepas menjayakan penggambaran drama Bad Cop.
Terdahulu, Saleha dan Joshua Fitton juga pereka fesyen diijabkabulkan dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu. – KOSMO! ONLINE