HONG KONG – Beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan dari sebuah kawasan sibuk di Hong Kong pada waktu malam ketika sekumpulan pakar berusaha ‘mematikan’ sebuah bom peninggalan era Perang Dunia Kedua, lapor laman berita Fox News semalam.
Bom itu berukuran hampir 1.5 meter dan seberat 454 kilogram.
Bahan letupan buatan Amerika Syarikat (AS) itu ditemukan di sebuah tapak pembinaan di Quarry Bay, barat Hong Kong, pada malam kelmarin.
“Kami mengesahkan objek ini sebagai bom yang berasal dari zaman Perang Dunia Kedua,” kata seorang pegawai polis, Andy Chan Tin-Chu kepada pemberita.
Beliau berkata, berikutan risiko amat tinggi untuk mematikan fius bom itu, kira-kira 1,900 isi rumah melibatkan 6,000 orang digesa supaya berpindah dengan segera.
Polis Hong Kong dalam satu kenyataan berkata, bom tersebut mengandungi 226 kilogram TNT yang dipercayai digugurkan oleh tentera AS semasa perang.
Pakar-pakar bekerja dari sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) kelmarin, hingga hampir tengah hari.
Menurut polis, pasukan pelupusan bahan letupan mengharungi cuaca taufan untuk ‘meleraikan’ bom tersebut dan berjaya menyingkirkan ancaman itu pada pukul 11.48 pagi (waktu tempatan). – AGENSI