KEMAMAN – Laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon di sini, terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas di tapak projek Seksyen 5, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kerteh di sini, hari ini.
Kebocoran dipercayai melibatkan paip gas jenis ‘butane’ itu berlaku pada pukul 9.53 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, tindakan menutup dan menghentikan sementara paip gas bocor dibuat sehingga kerja-kerja penyelenggaraan diselesaikan kontraktor terlibat.
“Kebocoran dalam bentuk gas itu dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar. Sehubungan itu, lokasi kejadian yang terletak dua kilometer dari laluan utama ditutup sepenuhnya kepada orang awam dan pekerja (ECRL),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Razi berkata, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon juga terpaksa ditutup sementara atas faktor keselamatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri lokasi kejadian selain mematuhi arahan pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE