REMBAU – Seorang warga emas tidak menyangka hobi menanam pokok bunga dan hiasan mendatangkan pendapatan lumayan mencecah empat angka hingga dia menjadi tular dan mempunyai pelanggan di seluruh negara.
Kontek Kamariah Mohd. Ali, 68, berkata, segalanya bermula apabila dia menukar hobi membiakkan orkid daripada menanam dan mengahwinkan bunga kertas yang dilakukan sejak 10 tahun lalu.
Katanya, minatnya berubah apabila menanam pula pokok bunga nanas atau bromeliad yang lebih cantik dan mudah dijaga tanpa baja ketika perintah kawalan pergerakan ekoran Covid-19.
“Mulanya saya beli anak pokok di Kendong dan Gadong pada harga RM30. Bila ia besar dan keluarkan anak saya lebih teruja.
“Kini sudah ada lebih 500 pokok bromeliad dengan anggaran 30 jenis identiti antaranya fireball, AEC merah, AEC kuning, pinot, lotus, samurai dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Bongek di sini baru-baru ini.
Menurut Kontek Kamariah, dia mula membelek pokok itu selepas solat sunat duha sehingga zuhur dan dijual pada harga RM15 hingga RM80 mengikut saiz.
Tambahnya, suaminya, Rusli Hamzah, 76, yang merupakan pesara tentera menyokong hobinya sehingga menjadi tular.
“Kebanyakkan pembeli merupakan rakan serta ahli peminat kumpulan bromeliad yang hanya terdiri daripada 45 orang di seluruh negara. Ada juga pembeli dari Banting dan Bangi, Selangor serta Bukit Gambir, Johor,” katanya.















