SEREMBAN – Bacaan biotoksin air laut di perairan Port Dickson menunjukkan penurunan di bawah 800 per billion (ppb), namun Jabatan Perikanan Negeri Sembilan masih mengekalkan larangan pengambilan kerang-kerangan sehingga keselamatan makanan benar-benar terjamin.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata walaupun ujian makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) merekodkan paras lebih rendah berbanding sebelum ini, pihaknya masih memerlukan masa untuk memastikan bacaan kekal stabil.
“Paras biotoksin ada penurunan, tetapi kami tidak boleh terburu-buru. Kami perlu pastikan ia benar-benar selamat sebelum membenarkan kerang diambil semula. Buat masa ini larangan kekal,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan pemantauan berkala akan diteruskan dengan pengambilan sampel setiap minggu bagi mendapatkan bacaan yang tepat dan konsisten.
Pada Ogos lalu, media melaporkan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menasihati nelayan agar tidak mrngutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson buat sementara waktu.
Larangan dikuatkuasakan selepas sampel kupang yang diambil pada 6 dan 12 Ogos mengandungi toksin Paralytic Shellfish Poisoning melebihi paras 800 ppb.
Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak memakan kerang-kerangan dari kawasan terjejas bagi mengelakkan risiko keracunan. – KOSMO! ONLINE