Pedagogi inklusif merupakan proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pelajar termasuk orang kurang upaya (OKU) secara serentak dalam satu bilik darjah di samping tidak melabel dan meminggirkan mereka.
Data Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan seramai 736,607 OKU berdaftar di Malaysia pada tahun 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, seramai 265,503 OKU yang mempunyai masalah pembelajaran sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi berbanding kategori lain iaitu fizikal (265,221 orang) dan penglihatan (63,779 orang).
Dalam konteks ini, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) memainkan peranan penting sebagai peneraju dalam melatih bakal guru agar mampu melaksanakan pedagogi inklusif dengan berkesan.
Guru turut memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pelajar mendapat akses pendidikan yang setara, termasuk mereka yang mengalami kecacatan fizikal, gangguan pembelajaran atau cabaran mental.
Pelajar istimewa bukanlah satu beban, tetapi anugerah.
Pengerusi Pertubuhan Pensyarah Cemerlang IPG yang juga Pensyarah Cemerlang Gred Khas C IPGKIK, Norani Abd Rahim berkata, pedagogi inklusif dilaksanakan secara aktif apabila terdapat kepelbagaian kategori permasalahan kecacatan yang turut sama belajar di dalam kelas.
“Cabaran terbesar adalah menyediakan bahan sokongan pembelajaran yang sesuai dengan keupayaan pelajar OKU.
“Contohnya, bagi yang menghadapi masalah penglihatan seperti buta, pelbagai aplikasi terkini dapat membantu mereka untuk membacakan nota pembelajaran bersuara.
“Bagi pelajar rabun pula, penyediaan slaid atau portal pembelajaran yang minimalis amat diperlukan. Misalnya, slaid sebaik-baiknya berwarna hitam, putih, hijau atau biru. Ia tidak memerlukan gambar atau dihias kerana boleh mengganggu silau mata penghidapnya,” katanya.
Tambahnya, pelajar normal sepatutnya perlu memahami dan tidak boleh merungut untuk mendapatkan pembentangan yang sempurna.
“Di sinilah konsep menerima dan kebersamaan ketika belajar amat diperlukan. Dengan adanya pedagogi inklusif, pelajar OKU dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran dan bersaing secara sihat dengan pelajar normal,” tambahnya.
Pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Amirul Syafiq berkata, dia amat bersyukur diberi peluang belajar bersama-sama pelajar lain kerana pensyarah tidak pernah menyisihkan mereka.
Amirul merupakan seorang pelajar yang mempunyai permasalahan dari segi saraf dan tangan serta artikulasi suara.
“Apa yang menarik adalah rakan di kelas dipupuk untuk sentiasa membantu dan menerima kekurangan kami. Contohnya, saya menghadapi masalah menulis dengan cepat tetapi saya sering diangkat sebagai ketua kumpulan. Saya juga berkeupayaan membentang dengan baik walaupun sesetengah sebutan saya kurang jelas,” katanya.
Bagi pelajar OKU penglihatan, Muhammad Adib Iskandar turut bersyukur dengan pendekatan pedagogi inklusif ini kerana golongan sepertinya tidak disisihkan oleh pensyarah dan
rakan, malah dia sering dibantu untuk berjaya dalam pelajaran.
Tidak dinafikan bahawa pedagogi inklusif perlu diperluas agar kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi bermakna.
Dengan menyantuni golongan itu, ia akan memberi peluang untuk menerima pendidikan yang sama dan berkualiti di samping memupuk kebersamaan antara mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang mempunyai nilai insan tinggi.














