KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memilih jalan sukar apabila memerlukan tiga set bagi memenangi aksi pusingan kedua pada Kejohanan Badminton China Masters.
Pada perlawanan yang berlangsung di Shenzhen Arena sebentar tadi, bekas juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 14-21, 21-15, 25-23 ke atas Ben Lane-Sean Vendy dari England.
Turun sebagai pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik menerima kejutan awal apabila tewas di set pertama sebelum bangkit memenangi set berikutnya dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Menerima bimbingan jurulatih legenda, Herry Iman Pierngadi, beregu No.2 dunia itu menampilkan aksi lebih meyakinkan di set ketiga sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir.
Menerusi keputusan itu, Aaron-Wooi Yik berjaya menebus kekalahan kepada wakil Eropah berkenaan ketika tersingkir di pusingan pertama pada Terbuka Hong Kong minggu lalu.
Menjelang suku akhir esok, mereka dijadualkan bertemu sama ada beregu Indonesia, Bagas Maulana-Leo Rolly Carnando ataupun rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Sementara itu, hasrat beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk ke suku akhir tidak kesampaian selepas tewas 21-16, 7-21, 10-21 kepada wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. – KOSMO! ONLINE