KUALA LUMPUR – Seorang penceramah bebas dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga kesalahan seksual terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun pada 2021.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes itu.
“Mahkamah berpuas hati mendengar keterangan saksi-saksi. Tertuduh gagal menimbulkan keraguan dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. Oleh itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Hakim Noridah turut memerintahkan Muhammad Fathi Na’im menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas menolak permohonan penangguhan hukuman tertuduh.
Bagi dua tuduhan rogol, tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa berusia 13 tahun (ketika kejadian) dalam sebuah kereta di kawasan parkir di Bandar Baru Puncak Alam di sini pukul 3 petang dan 7 malam, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.
Untuk pertuduhan amang seksual, Muhammad Fathi didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa sama dalam kenderaan sama di tempat yang sama pada Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Muhammad Fathi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan pencari nafkah tunggal menanggung tiga isteri dan lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Sepanjang perbicaraan bermula pada September 2023 hingga 22 Januari lalu, seramai enam saksi pendakwaan termasuk mangsa memberi keterangan, manakala tertuduh memberi keterangan sebagai saksi pembelaan. – KOSMO! ONLINE














