MUAR – Seorang lelaki disyaki mempunyai masalah mental memukul bapanya dengan menggunakan rotan dan melibas pisau dalam kejadian amuk di Kampung Tengah, Jalan Bakri, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.43 pagi itu, suspek berusia 32 tahun turut bertindak membakar kenderaan dan rumah keluarganya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bapa suspek yang berusia 70 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
“Siasatan mendapati sebelum kejadian kebakaran itu, suspek memukul dan melibas bapanya dengan rotan dan pisau sehingga menyebabkan warga emas tersebut cedera.
“Kejadian turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal musnah dengan anggaran kerugian RM100,000 sehingga RM150,000. Suspek ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, suspek dikejarkan ke HPSF kerana mengalami kecederaan dan dipercayai mempunyai masalah mental.
Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 324 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres, kereta Perodua Kancil dan sebuah motosikal Honda EX5.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus struktur rumah, manakala kereta dan motosikal musnah 90 peratus. Api berjaya dikawal pada pukul 10.10 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 11.06 pagi,” katanya.-KOSMO! ONLINE














