PETALING JAYA – Seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Azman menarik perhatian netizen apabila secara terbuka memuat naik pencarian jodoh di aplikasi Threads.
Dalam perkongsian ringkas, Azman menyapa pengikut dengan ucapan salam dan memberitahu dia seorang duda.
Katanya, dia berkhidmat sebagai doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan.
“Assalamualaikum. Saya Azman, duda. Asal Kelantan dan bekerja di Kelantan. Mencari isteri. Profesion doktor gomen (kerajaan). Harapnya sudi untuk berkenalan. Boleh WhatsApp jika sudi,” tulisnya.
Perkongsian itu menjadi bualan netizen dan ada yang menganggap pendekatan Azman sebagai berani dalam misi mencari pasangan hidup.
“Sekurang-kurangnya dia berani, terus terang dan tahu apa yang dia mahukan,” komen seorang pengguna Threads.
Tidak kurang juga ada pengguna media sosial yang berseloroh mengatakan ramai wanita akan mendekati lelaki tersebut disebabkan kerjaya yang dimilikinya.
“Mesti ramai yang ‘DM’ (Direct Message) lepas ni. Doktor pula tu, rebut cepat!,” seloroh Hetty.
“Dr. umur berapa? Kawan saya ada yang single (bujang) kerja ‘staf nurse’,” balas Cahaya.
Sementara itu, ada juga pengguna media sosial yang memperkenalkan diri masing-masing sebagai tanda mahu berkenalan dengan Azman.
“Saya Syamila dari Sungai Petani, Kedah. Dah pernah berkahwin dan bekerja sebagai guru tadika. Harap sudi berkawan,” tulis Mila. – KOSMO! ONLINE