KUALA LUMPUR – Usahawan yang sedang mencari arah hala tuju untuk mengembang dan mengukuhkan perniagaannya boleh menjadikan buku terbaharu hasil karya Pengasas 10X Strategy Coach merangkap penulis buku terlaris, Joescher Chee sebagai panduan terbaik.
Menurut beliau, buku bertajuk 10X Strategy Wheel bersesuaian untuk usahawan yang sedang mengembangkan perniagaannya dengan memiliki nilai perniagaan kurang daripada RM10 juta.
Ia juga bersesuaian kepada usahawan bumiputera kerana bahan bacaannya yang mudah, memberi kefahaman yang jelas kepada usahawan.
“Ramai usahawan bukan gagal kerana kurang usaha tetapi mereka gagal kerana tiada strategi dan fokus yang jelas.
“Buku 10X Strategy Wheel membimbing usahawan untuk menumpukan kepada perkara yang benar-benar penting,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku terbaharu itu di sini baru-baru ini.
Chee menerangkan, buku 10X Strategy Wheel dibangunkan berasaskan kajian primer terbesar melibatkan komuniti usahawan di Malaysia.
Tambah beliau, lebih 4,000 pemeriksaan kesihatan perniagaan secara bersemuka telah dijalankan sepanjang 10 tahun lalu oleh lebih 200 jurulatih strategi merentasi enam benua.
“Daripada dapatan kajian itu, lahirlah kerangka 10X Strategy Wheel yang merangkumi 10 tonggak utama dan 50 bidang perniagaan.
“Ia direka bagi membantu usahawan mengenal pasti masalah sebenar yang perlu diselesaikan, menyusun strategi dengan lebih tepat, serta mempercepat pertumbuhan syarikat,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE














