fbpx
Sebahagian suspek termasuk pegawai ATM yang ditahan selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air baru-baru ini. – FAISOL MUSTAFA

319 penjawat awam ditahan rasuah, salah guna kuasa dalam 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 319 penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh lapan bulan sejak Januari lalu atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam bidang kerja masing-ma­sing.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan di laman web SPRM, tangkapan itu melibatkan pelbagai perjawatan termasuk pe­ngurusan tertinggi, pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan.

Seramai 63 kakitangan awam ditangkap pada Januari lalu terdiri daripada 35 pegawai dalam kumpulan pengurusan dan profesional, manakala bakinya bagi kategori sokongan.

Pada Februari pula, SPRM merekodkan tangkapan seramai 52 penjawat awam, diikuti Mac (21), April (34), Mei (26), Jun (32), Julai (64) dan Ogos (27).

Mereka yang ditahan itu me­rupakan sebahagian daripada 906 individu yang ditahan pihak berkuasa tersebut antara Januari dan Ogos tahun ini yang turut melibatkan sektor lain seperti swasta, orang awam dan lain-lain.

Bagi kategori swasta, seramai 451 individu ditahan dalam tempoh sama dengan peca­han 71 orang pada Januari, Februari (69), Mac (37), April (40) dan Mei (41).

Pada Jun, seramai 99 pekerja swasta ditahan SPRM, diikuti 40 dan 38 orang masing-masing ditahan pada Julai dan Ogos lalu.

SPRM terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan ke atas jenayah rasuah apabila berjaya menumpaskan pelbagai sindiket termasuk counter setting di lapangan terbang seluruh negara melibatkan kumpulan penjawat awam.

Bagi kes counter setting, SPRM menahan reman seramai 27 individu termasuk 18 pegawai pe­nguat kuasa selepas dipercayai bersekongkol melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur sah yang telah ditetapkan.

Selain itu, menerusi Op Sohor, SPRM menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ­Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua wartawan, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Sindiket itu dipercayai membayar rasuah sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera setiap kali menyeludup masuk barangan dan rangkaian penglibatan pegawai kanan tentera terbabit dalam sindiket adalah besar serta kompleks.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN