fbpx
KURSUS-kursus kritikal seperti perubatan, farmasi, perakaunan, pergigian mahupun kejuruteraan di universiti-universiti terpilih mempunyai saingan sengit. - GAMBAR HIASAN

PNGK 4.00 tapi gagal dapat universiti idaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH tular seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini yang mendakwa dirinya gagal mendapat tempat untuk mengikuti kursus perakaunan di Universiti Malaya (UM) walaupun mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) penuh 4.00 telah menarik perhatian ramai.

Sudah pasti dia berasa kecewa dengan kegagalan itu kerana pencapaian yang cemerlang itu rupa-rupanya masih belum mencukupi untuk menempatkan dirinya mengikuti kursus diimpikan di universiti impian.

Apa yang dilalui oleh pelajar tersebut sebenarnya turut dilalui oleh ribuan pelajar cemerlang yang lain. Reaksi sedih dan kecewa kerana gagal mendapat tempat yang diinginkan itu adalah normal.

Hakikatnya, mereka sebenarnya bukanlah gagal, kerana keputusan akademik mereka tetap cemerlang, cuma tidak mendapat tempat seperti mana yang diharapkan. Semuanya kerana, pada masa sama, ada dalam kalangan pelajar-pelajar lain yang lebih layak ekoran kombinasi markah serta mata pelajaran yang lebih baik.

Apa pun, kepada pelajar-pelajar yang cemerlang ini tetapi tidak mendapat kursus dan universiti yang diinginkan, segeralah redakan kekecewaan dan penting untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan bijak dan rasional.

Terima hakikat bahawa tempat untuk mengikuti kursus-kursus kritikal seperti perubatan, farmasi, perakaunan, pergigian mahupun kejuruteraan di universiti-universiti terpilih, persaingannya agak sengit.

Jika perlu, apa salahnya buat rayuan. Ramai pelajar beranggapan rayuan hanyalah formaliti, tetapi sebenarnya setiap tahun ada sahaja tempat yang dibuka semula selepas pelajar lain menolak tawaran.

Jika gagal juga, pertimbangkan universiti swasta berkualiti tinggi, dan dengan keputusan cemerlang yang anda miliki, rasanya potensi anda untuk mendapatkan biasiswa agak tinggi.

Paling tidak mohonlah bantuan kewangan, dermasiswa atau pinjaman pendidikan.

Sekiranya anda masih berhasrat masuk ke universiti awam, mungkin ini masa terbaik untuk menukar impian anda. Tanya diri, adakah kursus pilihan yang dibuat benar-benar yang terbaik?

Kadangkala, kursus lain yang berkait rapat dengan kursus idaman juga membuka laluan kerjaya yang luas, asalkan anda kreatif dalam membina masa depan sendiri.

Selain itu, peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara juga boleh menjadi alternatif.

Banyak pelajar Malaysia berjaya mendapatkan tempat dalam kursus kritikal di negara seperti Indonesia, Mesir, Russia, United Kingdom dan Australia melalui program khas, tajaan Mara, JPA atau badan swasta. Jika benar-benar komited, mungkin ini laluan alternatif yang lebih sesuai.

Satu lagi pilihan ialah mengambil kursus diploma profesional atau sijil khusus, kemudian sambung ke peringkat ijazah. Ini sebenarnya bukan langkah ke belakang realitinya ramai pelajar cemerlang yang ambil jalan ini berjaya lebih jauh berbanding rakan sebaya mereka.

Jadi usahlah terlalu kecewa jika anda tidak mendapat tempat pengajian di universiti yang diinginkan kerana dunia tidak hanya menilai anda berdasarkan di mana anda belajar, tetapi bagaimana anda bawa diri, usaha dan sikap anda sepanjang perjalanan hidup. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN