GENTING HIGHLANDS – “Eda Ezrin, ini untuk anda.”
Demikian ucapan ringkas penyanyi Den Manjo selepas lagunya berjudul Cinta Setandan Pisang memenangi anugerah Lagu Etnik Terbaik sekali gus membawa pulang trofi dan RM50,000 peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena Star, Genting Highlands.
Pada masa sama, Den Manjo berharap orang ramai akan memberikan sokongan padu terhadap lagu dialek Kelantan selepas ini.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan terhadap lagu dialek Kelantan.
“Teruskan menyokong,” katanya usai menerima trofi.
Bagaimanapun, kelibat Eda atau nama lengkapnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 30, tidak kelihatan bagi menerima anugerah terbabit
Sementara itu, komposer Cinta Setandan Pisang, Eddie Hamid bersyukur lagu ciptaannya dalam dialek Kelantan berjaya menggungguli kategori Lagu Etnik Terbaik malam ini.
“Alhamdulillah, lagu Kelantan pertama menang di AIM.
“Tunggu ada sambungan lagu Adik Sayang Abe Sore,” ujarnya.
Cinta Setandan Pisang menewaskan lagu Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin). – KOSMO! ONLINE