fbpx
Mohd Noor Helmy bersama Shadan meninjau lokasi tandas awam Bukit Serindit ekoran isu tular yang mendakwa lokasi berkenaan jadi tempat mengendap. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Dakwaan intai tandas awam hanya kebimbangan pengguna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Tular video kerusi belakang tandas awam Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit mencetuskan spekulasi panas di TikTok apabila dikaitkan dengan dakwaan ‘port mengendap’ hingga buat netizen tak senang duduk.

Ekoran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman hari ini meninjau lokasi tandas berkenaan.

Mohd Noor Helmy berkata, semakan bersama dilakukan bagi menilai tahap keselamatan serta reka bentuk tandas tersebut yang menimbulkan keresahan pengguna selepas kelihatan beberapa kerusi diletakkan di bahagian belakang bangunan.

“Kawasan itu sebenarnya terbuka, kiri dan kanan boleh dilihat orang ramai kerana ia sentiasa dipenuhi pengunjung pada waktu pagi dan petang, jadi kemungkinan berlaku perkara mengendap agak sukar tanpa disedari.

“Namun kita tidak menolak kemungkinan kebimbangan itu wajar diberi perhatian, malah reka bentuk tandas ini dibuat dengan konsep ventilasi semula jadi untuk pencahayaan dan pengudaraan, jadi kita ambil maklum dan akan tambah baik,” katanya kepada pemberita di lokasi berkenaan, hari ini.

Beliau turut menegaskan setakat ini tiada sebarang kes dilaporkan berlaku melibatkan gangguan seperti yang dibimbangi, sebaliknya hanya kerisauan masyarakat yang dizahirkan menerusi hantaran tular di laman sosial TikTok sejak semalam yang berdurasi 27 saat.

Sementara itu, Datuk Shadan menjelaskan tandas berkenaan telah beroperasi lebih 10 tahun dan termasuk dalam senarai kemudahan yang akan dinaik taraf secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN