KUALA TERENGGANU – Muhammad Syukur Khamis, 20, yang pernah popular sehingga digelar ‘Mowgli Malaysia’ kerana keakraban dengan kerbau ternakan bapanya kira-kira enam tahun lalu kini bergelar mekanik motosikal berkuasa tinggi.
Dia berjaya menamatkan latihan dalam Kursus Teknologi Motosikal di Pusat Giat Mara Hulu Terengganu selama tiga bulan sebelum bergraduasi pada minggu lalu.
“Minat menjadi mekanik didorong abang, Muhammad Alias, 34, yang mempunyai bengkel membaiki motosikal.
“Saya belajar di Pusat Giat Mara selama enam bulan untuk memperolehi sijil kemahiran dan mengasah bakat sebelum membantu abang di bengkel miliknya,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Katong di sini semalam.
Muhammad Syukur berkata, dia lebih gemar membaiki motosikal pada waktu malam kerana pada waktu siang biasanya diluangkan untuk mengembala kerbau bapanya.
“Saya biasanya membaiki motosikal pelanggan daripada jenis kapcai hingga berkuasa tinggi selepas maghrib hingga tengah malam.
“Setiap motosikal dihantar pelanggan merupakan amanah. Saya masih baru dan perlu banyak praktikal dan bimbingan daripada abang (Muhammad Alias),” katanya.
Muhammad Syukur berkata, kos penyelenggaraan sesebuah motosikal dilakukannya antara RM350 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kerosakan dan model.
Katanya, kebanyakan alat ganti motosikal terbabit terpaksa diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia dan Thailand.
Ujar Muhammad Syukur, biarpun sudah melangkah alam dewasa dan bergelar mekanik, kecintaannya terhadap haiwan yang dipupuk sejak kecil tidak pernah berubah.
Dia berkata, setiap hari dia tetap menguruskan lebih 80 ekor kerbau, 30 kambing dan tiga ekor lembu milik bapanya di kandang di Kampung Kampung Kubang Bujuk di sini.
“Biarpun semakin dewasa, hubungan saya dan haiwan ternakan ayah masih erat. Insya-Allah sampai bila-bila pun
saya tetap ‘budak kerbau’,” katanya.
Sewaktu kecil, Muhammad Syukur menjadi terkenal setelah keakraban dengan kerbau ternakan bapa sering menjadi tumpuan lensa jurugambar tempatan dan antarabangsa sehingga beberapa fotonya memenangi anugerah.
















