PETALING JAYA – Seorang graduan terlewat menghadiri majlis konvokesyen apabila jurusoleknya membatalkan janji temu di saat-saat akhir gara-gara terlajak tidur.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, seorang graduan kecewa apabila jurusolek yang sepatutnya tiba seawal pukul 5 pagi itu membalas mesej bakal mencari pengganti jurusolek buatnya.
“Biasanya client (pelanggan) yang membatalkan perjanjian dengan jurusolek, ini jurusolek yang batalkan dengan alasan terlajak tidur.
“Saya sakit hati sebab dia batalkan betul-betul waktu perjanjian kami iaitu pukul 5.15 pagi. Sudahlah saya memang tak bawa apa-apa barang solek sebab harapkan dia (jurusolek),” ujarnya.
Lebih menjengkelkan, katanya, dia terpaksa menghubungi jurusolek itu di akaun media sosial apabila gagal mendapatkan respons melalui telefon.
Perkongsiannya itu meraih perhatian netizen yang meninggalkan pelbagai pendapat di ruangan komen.
“Paling tak suka jurusolek macam ini. Kalau ada kerja awal pagi, sepatutnya boleh bangun awal pagi juga, boleh pula guna alasan baru terjaga,” komen @nrlfildza_
“Jurusolek sekarang macam tiada sikap bertanggungjawab. Saya sudah bekerja sebagai jurusolek selama 12 tahun, tak pernah lewat ke rumah pelanggan,” kata Mazwati. – KOSMO! ONLINE














