fbpx
Yan mempunyai potensi cukup besar untuk dimajukan sebagai salah satu lokasi pelancongan menarik di Kedah. - FB MENARIK DI YAN

Yan lokasi terbaik healing musim cuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, media sosial terutamanya TikTok dibanjiri video pendek yang menunjukkan sebatang jalan dengan pemandangan cukup mengujakan.

Sekali imbas, pemandangan tersebut kelihatan seperti di Koh Samui, Thailand yang menjadi salah satu daya tarikan pelawat termasuk dari Malaysia.

Namun, selepas video pendek tersebut dilihat dengan lebih teliti, ternyata itu merupakan pemandangan jalan di Tanjung Jaga yang terletak dalam daerah Yan di Kedah.

Selepas video tersebut tular, manusia dari serata pelosok negara mula berpusu-pusu ke kawasan tersebut untuk merakam gambar dan video.

Rata-rata pelawat menyatakan rasa kagum melihat keindahan jalan yang terletak di antara lereng bukit dipenuhi pokok hijau dan pantai dengan laut membiru.

Sebagai anak jati Yan, penulis sama sekali tidak menyangka jalan tersebut akan tular dalam media sosial disebabkan pemandangan indahnya.

Untuk makluman, jalan berkenaan merupakan laluan harian penulis selama enam tahun bagi berulang-alik dari rumah di Singkir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Yan.

Hakikatnya, jalan Tanjung Jaga itu merupakan salah satu daripada sedozen tempat-tempat menarik yang ditawarkan di Yan. Ramai tidak sedar bahawa Yan merupakan permata pelancongan tersembunyi di Kedah.

Hal ini kerana daerah yang rata-rata penduduknya menjalankan kegiatan bersawah dan nelayan itu dikelilingi elemen alam semula jadi seperti gunung, laut, pulau serta hutan.

Maka tidak hairanlah, kerajaan negeri mempromosikan Yan sebagai kawasan pelancongan terbaik di Kedah selepas Langkawi.

Memandangkan cuti sekolah pada minggu depan, penulis merasakan Yan merupakan salah satu destinasi terbaik untuk orang ramai bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.

Antara tempat yang wajib dilawati di Yan adalah puncak Gunung Jerai untuk merasai pengalaman berada di kawasan tanah tinggi.

Di sini, pengunjung boleh melihat pemandangan sawah padi terbentang luas dari aras 1,200 meter sambil menghirup udara dingin yang segar.

Bagi yang mendambakan pemandangan laut, mereka boleh bersantai di beberapa lokasi tepi pantai seperti Pantai Murni Waterfront dan Tanjung Dawai.

Selain itu, terdapat beberapa kawasan air terjun yang menarik di daerah ini. Antaranya, Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi, Air Terjun Puteri Mandi, Hutan Lipur Puteri Bersiram dan Batu Kapal.

Akhir kalam, penulis yakin Yan mempunyai potensi cukup besar untuk dimajukan sebagai salah satu lokasi pelancongan menarik di Kedah.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada salah seorang rakan penulis yang sudah ‘travel’ ke banyak negara di dunia. Katanya, pemandangan di Yan umpama dalam sebuah lukisan indah kerana adanya gunung, sawah padi dan pantai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN