fbpx
Suspek warga Malaysia akan dihantar ke lokap Na Thawi di Sadao untuk direman dan bakal didakwa melakukan jenayah berkumpulan rentas sempadan kerana menyeludup senjata api.

Suspek seludup M16 bakal meringkuk seumur hidup di penjara Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki Malaysia yang ditahan selepas cuba menyeludup senjata api termasuk raifal M16 di Selatan Thailand pada 30 Ogos lalu bakal berdepan hukuman penjara se­umur hidup.

Sumber keselamatan berkata, ini selepas siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Thailand mendapati kesalahan itu dilakukan secara berkumpulan.

Sebelum ini suspek ditahan atas kesalahan membawa senjata api tanpa kebenaran dan siasatan dijalankan di bawah Akta Senjata Api.

Katanya, hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda 2,000 baht (RM260) hingga 20,000 baht (RM2,609).

“Mengikut pertuduhan awal, lelaki berusia 46 tahun akan dituduh di bawah kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen dan peluru selain kesalahan positif dadah.

“Bagaimanapun hasil soal siasat, suspek akan dituduh melakukan kesalahan secara berkumpulan dan jenayah rentas sempadan kerana dengan niat untuk mengeksport senjata api,” katanya kepada Kosmo!.

Pada 2 September lalu, Kos­mo! melaporkan suspek yang me­nerima upah RM10,000 untuk menyeludup senjata api ber­kenaan bersama 450 butir peluru ditahan dalam satu sekatan jalan raya pada pukul 5.35 petang di Jalan Kanchanawanit, Danok, Sadao.

Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan dua laras raifal jenis M16 yang sebahagiannya telah dileraikan dan 450 butir peluru pelbagai saiz di dalam tujuh katrij.

Ketika itu suspek didapati dalam keadaan mencurigakan ketika memandu kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang itu.

Menurut sumber itu, suspek akan dituduh atas pertuduhan bersama (melakukan kesalahan secara berkumpulan) ini selepas pihak Polis Daerah Sadao mendapat keputusan daripada forensik.

Tambahnya, jika sabit ke­salahan, lelaki dari Pulau Pinang tersebut boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun sehingga seumur hidup.

“Suspek yang direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao sebelum ini dihantar ke lokap Na Thawi sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN