fbpx
Setiap karya Jamila dihasilkan melalui pemerhatian teliti terhadap persekitaran, berita dan bahan bacaan.

Seniman autistik Jamila diiktiraf sampai Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JARI-JEMARI Wan Jamila Wan Shaiful Bahri lincah menari bersama berus, mengisi kanvas dengan warna-warna terang.

Setiap goresan mewakili suara hati seorang seniman autistik yang tidak selalu dapat diluahkan melalui komunikasi konvensional.

Kanvas-kanvas sentuhan gadis itu yang mesra dipanggil Jamila berdiri sebagai saksi bahawa seni mampu melampaui batas bahasa.

Daripada pameran tempatan, Jamila yang dikenali ramai sejak usia belasan tahun terus menempa nama termasuk dianugerahkan Anugerah Genius of Italy (Michelangelo Award) di Rom, Itali pada 2023.

Kini, pada usia 23 tahun, Jamila terus berdiri sebagai pelukis naif Malaysia yang diiktiraf dunia, dengan karya dimiliki kerabat diraja dan tokoh-tokoh ternama.

Antaranya, karya berjudul Truly Malaysia, Siri 2 menjadi milik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, karyanya bertajuk Unity in Diversity: Skyline Siri 3 dipilih untuk dicetak dan dipaparkan pada huruf tiga dimensi ‘PUTRAJAYA’ di Dataran Putra, Putrajaya.

Ia bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2019, selepas rundingan bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut ibu saudaranya dan pengurus seni, Noor Sa’adah Mohd. Noordin, Jamila mengkhusus dalam lukisan naif yang menampilkan dunia dari perspektif kanak-kanak dengan warna cerah dan makna tersirat.

“Setiap karya Jamila dihasilkan melalui pemerhatian teliti terhadap persekitaran, berita dan bahan bacaan, yang kemudian diterjemahkan dalam bentuk peta minda di atas kanvas. Hasilnya, karya-karya Jamila bukan saja indah dipandang, malah sarat naratif sejarah, sosial dan aspirasi masa depan.

“Teknik tersebut membolehkan Jamila mengekspresikan idea-idea yang luas dan mendalam, sekali gus membezakan dirinya dalam arena seni tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada K-

Remaja ketika ditemui di Artjamila Gallery and Museum di Bukit Bandaraya, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Galeri dua tingkat yang dibuka kepada orang ramai pada 1 Oktober 2023 itu merupakan aspirasi arwah ibu Jamila, Noorhashimah Mohamed Noordin.

Di sebalik kejayaan Jamila terselit kisah penuh kasih dan pengorbanan seorang ibu yang disahkan menghidap kanser kolon pada 2016.

Noorhashimah, seorang arkitek dan pensyarah, sanggup melepaskan jawatannya demi merangka kurikulum pendidikan khas di rumah yang menumpukan pada seni.

Kurikulum itu menekankan ekspresi kreatif dan latihan berterusan, membantu Jamila berkembang daripada doodle harian kepada karya seni yang serius dan bertema.

Jamila merupakan seorang autisme yang mempunyai kesukaran interaksi sosial dan komunikasi.

Karya Jamila Truly Malaysia Siri 2 berkenan dimiliki Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2023.

Usaha arwah ibunya dalam bimbingan seni juga membolehkan Jamila beralih daripada medium awal seperti pensil warna dan krayon kepada akrilik, medium yang lebih fleksibel dan cepat kering.

Karya awalnya banyak bertemakan diri dan keluarga, seperti siri Three Ladies dan Rapunzel, sebelum berkembang ke siri Fish Mosaic yang diinspirasikan oleh alam semula jadi serta pengalaman melancongnya.

Sentuhan Jamila mula mendapat perhatian apabila dia muncul sebagai pemenang mingguan pertandingan National Live Painting, Negaraku yang dianjurkan di Balai Seni Negara pada 2017.

Menurut Noor Sa’adah, bermula dari situ Jamila menjadi lebih aktif menyertai pertandingan peringkat kebangsaan, memenangi beberapa anugerah, sekali gus membuka pintu rezeki kepada peluang yang lebih luas.

“Karya-karyanya dipilih untuk mural, arca, dan projek korporat, menonjolkan kreativiti dan impak sosial. Dedikasinya dalam seni visual mencerminkan keunggulan, ketekunan dan inspirasi bagi komuniti seni dan autisme,” katanya.

Perjalanan antarabangsa Jamila bermula apabila dia mendokumentasikan pengorbanan dan kepahlawanan petugas barisan hadapan semasa pandemik Covid-19.

Karya-karya yang diinspirasikan daripada berita-berita dunia itu mendapat perhatian antarabangsa dan pengiktirafan luar negara.

Hasil karya Jamila untuk kesedaran impak Covid-19 menempatkannya dalam artikel World Generation Z oleh AFP di Paris.

Dia juga didokumentasikan dalam Britishpedia bertajuk Successful People in Malaysia 2020 dan dipilih sebagai Gen. T Honouree Asian Leaders of Tomorrow pada 2021.

Selain itu, Artjamila dimuatkan dalam Buku Seni Antarabangsa Contemporary Celebrity Masters Vol. IV yang diterbitkan oleh Effetto Arte Editore sebagai pengiktirafan terhadap gaya uniknya.

Dia turut dipaparkan dalam buku seni Art from Leonardo da Vinci to Today pada tahun 2022 oleh MAMAG Modern Art Museum, Eropah bagi menonjolkan sumbangannya dalam seni kontemporari.

Tidak terhenti di situ, Jamila turut mengadakan pameran solo Voyage of Moments, dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Creative Media Technology Hub, UiTM pada 2022

Pada tahun yang sama, beberapa lukisannya dipamerkan dalam pameran antarabangsa di Perancis, Austria dan Jerman selama setahun.

Jamila telah menerima Anugerah Kerjaya Seni Antarabangsa 2023 daripada Effetto Arte Foundation, Itali, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang seni.

Dia juga terpilih menerima Anugerah Michelangelo Antarabangsa The Genius of Italy pada tahun 2023 di Rom, Itali, bagi menghargai gaya dan penyelidikan seni luar biasa.

Bahkan, kajian mengenai lukisan Artjamila dijalankan oleh Mumtaz Mokhtar, Wan Samiati Andriana WMD, dan Noorhashimah Mohamed Noordin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan diterbitkan dalam jurnal Idealogy pada September 2023.

Namun, ketika berada di puncak pencapaian tersebut, ibunya telah menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2023 yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap motivasi Jamila.

Untuk makluman, pelukis genius itu kini diuruskan oleh Noor Sa’adah dan juga adik kepada Jamila, Wan Jemima, yang turut menulis puisi dan kadangkala mengiringi karya seni Jamila.

Jelas Noor Sa’adah lagi, Jamila menghasilkan karyanya dengan tempoh berbeza-beza bergantung kepada minat, tema dan mood.

Ada karya yang dapat disiapkan dalam satu malam, sementara sesetengahnya mengambil masa seminggu hingga enam bulan bergantung saiz dan kerumitan karya yang hendak dihasilkan.

“Jamila sangat mahir dalam mengingati kombinasi warna (mixing colors), membolehkan dia membaiki atau menyambung lukisan lama dengan tepat.

“Sesetengah karyanya mempunyai nilai tinggi sehingga RM20,000 satu lukisan, dengan kebanyakan dimiliki secara peribadi atau dipamerkan di galeri seni,” kata Noor Sa’adah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN