BANGKOK – Seorang lelaki berusia 64 tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lebih 3 meter di sebuah laluan yang digunakan penduduk tempatan di wilayah Phayao, Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Penduduk mendesak pihak berkuasa untuk memeriksa kawasan itu serta melaksanakan langkah keselamatan.
Pada pukul 12.37 tengah hari (waktu tempatan) semalam, polis menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam sebuah lubang berhampiran jalan pertanian menuju ke Baan San Luang.
Doktor forensik, pasukan penyelamat dan pegawai-pegawai pencegahan bencana dari Krai Thong dikerahkan ke lokasi kejadian.
Lubang itu mempunyai kedalaman kira-kira 3.5 meter, cukup besar untuk menyebabkan seseorang terjatuh ke dalamnya.
Mayat seorang warga emas dikenali sebagai Sawat, ditemukan di dalam lubang tersebut.
Pasukan penyelamat bersama ahli keluarga kemudian berjaya membawa keluar mayat berkenaan.
Doktor forensik dan pihak polis menjalankan siasatan awal dan mengesahkan kematian itu serta tidak menemui sebarang tanda perbuatan jenayah. – AGENSI