SEREMBAN – Seorang nelayan sukar tidur malam terkenangkan wajah dua beradik yang tenggelam bersama kenderaan yang menggelongsor masuk ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas di Port Dickson pada Khamis lalu.
Nelayan tersebut, Ade Mos, 47, berkata, walaupun baharu sahaja berkenalan dengan ‘keluarga’ tersebut ketika memancing di lokasi berkenaan minggu lalu, dia tidak dapat melupakan keletah peramah dua beradik berkenaan.
“Ayah dan ibu dia itu saya tidak berapa sangat (marah dan terkilan) sebab tidak jujur menceritakan kisah hidupnya kepada saya, tapi anak-anak kecil ini, memang saya asyik terkenang. Budak-budak keletahnya ketika memancing buat saya tak boleh lupa.
“Nampak macam budak-budak yang bijak. Yang kanak-kanak perempuan pun sepanjang memancing memang pakai tudung. Tak pernah tanggal. Masa itu, kanak-kanak ini dipanggil dengan nama Puteri Farissa.
“Manakala, yang kanak-kanak lelaki pula dipanggil Irfan. Tak sangka pula saya kalau dua beradik ini ada nama lain kerana sepanjang memancing, inilah nama yang dipanggil keluarga itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ujar Ade lagi, sepanjang memancing bersama dengan keluarga berkenaan, dia tidak merakam sebarang gambar, mahupun video walaupun agak lama berbual-bual.
“Malah, saya sempat menukar mata kail yang putus serta menerangkan jenis-jenis ikan yang dapat dipancing ketika bersama keluarga tersebut,” katanya.
Menurutnya, jika diimbas kembali detik-detik dia menyelamatkan wanita yang didakwa isteri kepada suspek lelaki berkenaan, dia berasa ralat, terkilan serta sedih.
“Masa itu wanita yang didakwa lelaki itu sebagai isterinya telah hanyut sebaik keluar dari pintu pemandu yang terbuka. Saya selamatkan dulu sebab yang lelaki kata isterinya tak pandai berenang.
“Dua beradik berkenaan pula saya lihat seolah-olah sedang meminta pertolongan juga untuk keluar dari kenderaan yang tenggelam. Kejadian berlaku agak cepat menyebabkan saya tak sempat selamatkan dua beradik tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia kini hanya berharap agar dua beradik berkenaan dapat dikebumikan dengan segera dan sempurna walau apa juga agama.
“Malah, saya juga ingin melihat untuk kali terakhir dua beradik yang memang sangat comel ini. Kini saya asyik terkenangkan mereka lebih-lebih lagi sebelum tidur malam,” katanya sambil menangis. -KOSMO! ONLINE














