fbpx
SUSPEK menunjukkan dua laras M16 dan sejumlah peluru yang ditemukan di dalam kereta dipandunya ketika diperiksa dalam satu sekatan jalan raya di Danok, Sadao wilayah Songkhla kelmarin.

Senjata M16, peluru yang cuba diseludup ke Malaysia dibawa dari Krabi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siasatan lanjut polis mendapati rakyat Malaysia yang ditahan di selatan Thailand Sabtu lalu menerima upah RM10,000 untuk menyeludup dua laras senjata api jenis M16 dan pelbagai jenis peluru ke negara ini.

Sumber berkata, suspek ber-usia 42 tahun tersebut ditahan pi­hak berkuasa Thailand dalam sa­tu sekatan jalan raya selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5.35 petang (waktu tempatan) di Da­nok, Sadao di wilayah ­­Songkhla.

Pemeriksaan di da­lam kereta menggunakan nom­bor pendaftaran Malaysia dipandu lelaki itu menjumpai dua laras M16 bersama 450 butir peluru.

Difahamkan, senjata api itu dile­takkan di dalam satu bungkusan ketika hendak dibawa keluar dari Thailand. Pemeriksaan dilakukan selepas polis mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan awal mendapati suspek dibayar sebanyak RM10,000 oleh pihak tertentu untuk membawa kesemua senjata api tersebut ke negara ini.

“Upah tersebut (RM10,000) diberikan untuk satu perjalanan. Senjata dan peluru tersebut dipercayai dibawa dari Krabi.

“Setakat ini semakan mendapati lelaki itu tiada rekod terlibat dalam kegiatan gengsterisme di negara ini,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

SUSPEK menerima upah RM10,000 untuk menyeludup senjata api dari Thailand ke Malaysia.

Menurut sumber itu, setakat ini pihak berkuasa masih me­nyiasat tujuan senjata api tersebut dibawa masuk ke Malaysia dan pihak yang mengupah suspek.

“Siasatan juga sedang dijalankan sejak bila suspek menjadi runner,” katanya.

Kelmarin Kosmo! Online me­laporkan lelaki berusia 42 tahun itu dicekup ketika memandu kereta dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Kanchanawanit di Songkhla.

Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Surachit Petchom dipetik sebagai berkata, pemeriksaan menjumpai dua laras raifal jenis M16 yang sebahagiannya telah dileraikan di bahagian
tempat duduk belakang kereta tersebut.

Menurutnya, selain itu, seba­nyak 450 butir peluru pelbagai saiz di dalam tujuh katrij turut dijumpai di dalam kereta tersebut.

“Kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang itu ditahan selepas pihak polis mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Surachit memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao.

Menurutnya, kesalahan membawa senjata api di khalayak umum tanpa kebenaran adalah dilarang dan boleh dihukum oleh undang-undang.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Akta Senjata Api yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda seba­nyak 2,000 baht (RM260) hingga 20,000 baht (RM2,609).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN