MADRID – Seorang penyelam berumur 23 tahun diselamatkan selepas hanyut selama dua hari dari perairan Maghribi ke Sepanyol ketika melakukan aktiviti selaman bersama rakan-rakannya, lapor akhbar The Sun UK.
Penemuan itu dibuat oleh sekumpulan anak kapal yang dalam perjalanan ke Portugal, kira-kira 38.62 kilometer dari Caleta de Vélez di Costa del Sol, Jumaat minggu lalu.
Mahgribi terletak di Benua Afrika, manakala Portugal berada di Benua Eropah.
Menurut mangsa, dia ‘ditarik’ ombak ketika menyelam bersama rakan-rakannya di luar pantai Fnideq,petang Rabu lepas.
Rakaman video di media sosial menunjukkan mangsa dibawa ke hospital tempatan dengan menaiki helikopter.
Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil meskipun mengalami hipotermia.
Penyelam itu masih di bawah pemerhatian dan dijangka pulang ke Maghribi selepas kesihatannya pulih. – AGENSI