DI pentas yang diterangi cahaya, helaian kain jatuh beralun seakan berbisik tentang sebuah kisah peribadi.
Dari jauh, ia bukan sekadar busana, tetapi serpihan emosi yang dijahit dengan penuh jiwa.
Pereka muda kelahiran Sandakan, Sabah, Akmal Hakim yang dikenali dengan siluet berani dan sentuhan sofistikated kembali dengan koleksi terbaharu diberi judul From Me to You.
Ia adalah manifestasi perjalanannya dalam dunia fesyen yang penuh suka duka, persis sebuah surat cinta yang ditujukan kepada fesyen itu sendiri.
Di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 baru-baru ini, koleksinya menampilkan 12 busana yang lahir daripada tema self-love (cinta kendiri).
Menurut Akmal, setiap helaian menjadi refleksi hubungan peribadinya dengan fesyen iaitu hubungan yang penuh cabaran, namun sarat pencapaian.
“Perjalanan saya dalam dunia fesyen tidak pernah mudah. Ada masa saya rasa hampir berputus asa. Namun, setiap cabaran itu mengajar saya sesuatu.
“From Me to You bukan sekadar koleksi, tetapi juga menjadi ruang untuk meraikan setiap pencapaian yang pernah saya capai. Selain itu, ia juga cara saya menatap masa depan dengan keyakinan dan keberanian untuk terus berkarya,” katanya.
Dalam setiap rekaan, terselit kejujuran tentang bagaimana cinta terhadap diri dapat diterjemahkan melalui fabrik, siluet dan perincian yang teliti.

Material menjadi bahasa utama dalam penceritaan koleksi ini. Akmal memilih fabrik dengan berat berbeza, daripada chiffon yang ringan hingga kulit yang tegas serta bulu tiruan yang dramatik.
Fabrik-fabrik ini dimanipulasi melalui teknik potongan laser, menghasilkan corak diinspirasikan bunga dandelion, simbol kebebasan dan ketabahan.
Pada masa yang sama, perincian akrilik berbentuk hati dijahit rapi sebagai lambang cinta diri dan penemuan jati diri.
Setiap helaian tidak hanya berfungsi sebagai busana, tetapi juga sebagai pernyataan emosi yang ingin dikongsi.
Walaupun koleksi ini dibina untuk pentas, Akmal tidak mengetepikan aspek kebolehpakaiannya.
Beberapa rekaan diolah agar lebih dekat dengan kehidupan harian seperti kemeja chiffon bersaiz besar untuk layering dan gaun putih chiffon yang diinterpretasikan semula menjadi abaya.
Usaha ini memperlihatkan bagaimana koleksi seni boleh bergerak melangkaui pentas peragaan. Namun, kongsi anak ketiga daripada empat beradik itu, cabaran terbesarnya ialah mencari keseimbangan antara kreativiti dengan nilai komersial.

“Saya mahu setiap helaian tampil sebagai karya seni, tetapi tetap praktikal untuk dipakai dan dipasarkan.
“Berkarya dalam fesyen memberi saya kegembiraan, dan saya mahu kegembiraan itu terpancar kepada sesiapa yang menyarung busana ini,” katanya.
Perjalanan Akmal dalam dunia fesyen bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak 2020, namanya sudah mula mewarnai pentas KLFW melalui segmen kecil seperti Fashion Forward Batik dan Design to Sustain.
Akmal juga pernah menimba pengalaman berharga bersama jenama pereka ternama Rizman Ruzaini serta menjayakan kolaborasi bersama Ruzzgahara.
“Semua itu menjadi batu loncatan yang mematangkan visi saya. Tahun ini, dengan identiti jenama sendiri, saya tampil lebih berani dan yakin.
Apabila diberi peluang menzahirkan visi peribadi, saya tahu inilah masanya saya benar-benar bersedia,” ujarnya.














