fbpx
Gempa bumi lemah kali kelima berlaku di Segamat, Johor pada pukul 4.24 pagi semalam.

Kolam air panas petanda zon retakan, hasilkan gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kejadian lima gempa bumi lemah yang melanda Segamat dipercayai terhasil daripada sesar kuno di sekitar Segamat-Labis yang telah aktif semula akibat pengumpulan daya tektonik di Semenanjung.

Pakar Geologi, Prof. Kehormat Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Felix Tongku berkata, daya tektonik tersebut terhasil daripada mampatan subduksi plat bumi di Indonesia.

“Berdasarkan beberapa siri kejadian gempa bumi lemah di Segamat, ada kemungkinan beberapa gempa kecil akan berlaku di sekitar kawasan kejadian gempa utama.

“Kemungkinan ada sesar aktif berdekatan Segamat-Labis-Bekok, yang belum dikenal pasti lagi kedudukannya.

“Fenomena ini akan berlaku sehinggalah penyesuaian pergerakan plat bumi akibat pergerakan sesar berakhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dr. Felix Tongku

Felix berkata, kewujudan beberapa kolam air panas di negeri Johor juga adalah satu petanda kehadiran zon retakan atau zon sesar dalam bumi.

Antara kolam air panas di Johor ialah Kolam Air Panas Labis di Segamat, Kolam Air Panas Sungai Gersik (Muar), Kolam Air Panas Semerah (Batu Pahat) dan Kolam Air Panas Sungai Lenggor (Kluang).

Katanya, gempa bumi ada kaitan secara tidak langsung dengan kehadiran air panas.

“Kadangkala gegaran gempa boleh menghidupkan semula aliran air panas dalam kolam panas yang mulai menyejuk.

“Kawasan semenanjung akan terus berlaku gempa yang kecil kecil, terutama di kawasan yang sudah dikenal pasti berisiko gempa,” katanya.

Ujarnya, gegaran yang berlaku walaupun kecil boleh menakutkan manusia kerana berisiko tercetusnya bahaya sekunder seperti tanah runtuh dan susutan tanah.

Justeru, pihak berwajib seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu terus memberi penjelasan mengenai fenomena semula jadi itu kepada orang awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN