BALIK PULAU – Suspek lelaki yang cedera selepas mengelar diri leher dan tangannya dengan sebilah pisau di Taman Tunas Muda, Sungari Ara di sini, semalam dilaporkan sudah boleh berjalan.
Semalam, suspek yang merupakan guru sebuah sekolah di daerah Timur Laut terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan pada bahagian yang cedera.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 30 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital.
“Suspek sudah menjalani pembedahan di leher. Dia sudah bangun dan boleh berjalan. Kita akan merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Isteri suspek yang mengalami kecederaan pada leher akibat dikelar lelaki itu dengan senjata sama sudah dibenarkan keluar hospital hari ini.
Kosmo! melaporkan dalam kejadian pada pukul 6 pagi semalam, seorang guru bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan diri sendiri dengan sebilah pisau di bilik tidur pasangan tersebut.
Kejadian sebelum subuh itu disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas rumah dua tingkat tersebut.
Ibu mangsa melihat anaknya ditindih menantu sebelum menarik wanita itu turun dari katil bagi menyelamatkan mangsa. – KOSMO! ONLINE