PETALING JAYA – “Lebih baik diam kalau tidak tahu apa-apa.”
Demikian luahan pelakon Shima Anuar membidas dakwaan netizen yang menuduhnya mengerah pembantu rumah melakukan pelbagai tugasan di luar skop kerja.
Shima atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 34, berkata orang luar hanya pandai menuding jari terhadap perkara yang di luar pengetahuan mereka tanpa usul periksa.
“Sedapnya mulut orang fitnah saya. Saya bake (bakar kek) seorang diri sampai pukul 2 hingga 3 pagi.
“Pembantu saya pukul 9 malam dah masuk bilik, bersedia untuk tidur sambil main telefon.
“Kalau aku kerahkan pun ada masalah ke? Aku bayar gaji, bukan kerja secara percuma,” katanya dalam perkongsian dalam InstaStory.
Menurutnya, dia terpaksa membalas komen yang disifatkan bodoh itu selepas lama tidak melayan provokasi seumpama itu.
“Saya tahu saya tak patut balas komen sebegini. Tapi saya sudah lama tak jawab komen dungu netizen. Kasi peluang okey. Pertama dan terakhir. Janji,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, usahawan makanan terbabit turut memuat naik tangkap layar komen netizen yang dikatakan membuat tuduhan melulu.
“Maid (pembantu) serba kerja kena kerah. Bukan setakat jaga anak, kemas rumah (tapi) kena tolong masak untuk bisnes dia.
“Mungkin nak kejar sales (jualan) punya pasal, mereka pun penat. Dulu jual laksam, sekarang kek kalau tak silap.
“Dari dulu dia meniaga masak-masak. Maid ramai-ramai tu aka pembantu bisnes juga,” tulis komen tersebut.
Pelakon Shima Anuar membidas dakwaan netizen yang mengatakan dia memaksa pembantu rumahnya melakukan kerja luar daripada bidang mereka selain mengemas rumah.
Sebelum ini Shima pernah menegur empat pembantu rumahnya selepas hilang sabar kerana mereka cuai menjaga keselamatan anak bongsunya, Harris ketika dia tiada di rumah.
Dia berang dan kesal selepas mendapati anak kecilnya itu berada di pintu pagar seorang diri tanpa pengawasan sesiapa.- KOSMO! ONLINE