SABAK BERNAM – Sentiasa bersikap optimis dan tidak pernah berputus asa menjadi pegangan Muhamad Alif Nazmi Azamzuri yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tan Sri Rozali Ismail pada konvokesyen Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) ke-19 di sini semalam.
Dia membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai RM3,000 tajaan Puncak Niaga Holding Berhad.
Muhamad Alif, 22, berkata, sikap itu adalah selaras dengan kehendak ketika ini termasuk industri yang memerlukan seseorang graduan sentiasa berdaya saing.
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PSSI menekankan pengurusan masa menjadikan dirinya sentiasa menepati masa, berdisiplin dan mengutamakan aktiviti yang mustahak.
“Jangan pernah putus asa kerana setiap usaha dan penat lelah adalah untuk pelaburan masa depan.
“Tiada kejayaan tanpa komitmen. Kejayaan ini untuk ibu bapa yang sentiasa mengiringi langkah saya dengan doa mereka selain rakan-rakan yang banyak membantu,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.53.
Dia yang mengambil jurusan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal kini bekerja sebagai pengurus dan perunding majlis perkahwinan dan korporat di sebuah syarikat swasta sekitar Lembah Klang.
“Pada masa sama, saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Perniagaan dalam Pengurusan Acara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) secara separuh masa,” jelasnya.
Sementara itu, penerima Anugerah Pengarah Politeknik, Muhamad Zul Khairi Mahadzir, 28, memberitahu, dia kini bekerja di Jepun sebagai pemandu pelancong di salah sebuah syarikat Negara Matahari Terbit itu.
Ujarnya, yang kini berpendapatan mencecah RM6,000 berpandangan pemilihan melanjutkan pelajaran di PSIS adalah tepat.
“Pekerjaan saya ini adalah seiring dengan jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan yang diambil di PSIS.
“Banyak saya belajar terutama budaya kerja Jepun yang sangat efisien, menjaga keharmonian kumpulan dan kelestarian alam sekitar,” kata anak jati Pahang itu.