LONDON – Arsenal sekali lagi mengecewakan seteru setempat, Tottenham Hotspur apabila dilaporkan semakin hampir menandatangani khidmat Pierro Hincapie.
Difahamkan, Hincapie hanya mahu menyertai Arsenal dan memberitahu Bayer Leverkusen agar menurunkan yuran perpindahan lebih rendah daripada klausa pelepasan £52 juta (RM295.30 juta) dalam kontraknya.
Ia bermakna pertahanan tengah yang boleh beraksi sebagai bek kiri itu akan menjadi pemain kedua ‘dicuri’ Arsenal daripada Spurs selepas Eberechi Eze.
Situasi Hincapie sama seperti Eze apabila kedua-duanya dilaporkan berada dalam radar Spurs tetapi reputasi hebat dimiliki Arsenal membuatkan mereka menolak menyertai juara Liga Europa itu.
Antara faktor lain adalah disebabkan Spurs hanya mahu meminjamnya selama semusim dengan pembelian mandatori berbanding Arsenal yang akan mengemukakan tawaran rasmi bernilai £39 juta (RM221.47 juta).
Kini, tonggak pertahanan Ecuador itu hanya menanti masa untuk melengkapkan urusan perubatan sebelum diumumkan sebagai pembelian kelapan Arsenal musim ini.
Hincapie akan menyertai senarai bintang baharu Arsenal seperti Kepa Arrizabalaga, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke, Christian Masquera, Viktor Gyokeres dan Eze.
Perpindahan ini menjadi lebih mudah apabila Arsenal akan menerima £25 juta (RM141.97 juta) daripada Porto yang mahu membeli khidmat Jakub Kiwior. – AGENSI