MANCHESTER – Bekas penjaga gol Manchester United, Ben Foster mempersoalkan tindakan pasukan itu mahu membeli Senne Lammens daripada dua nama besar seperti Gianluigi Donnarumma ataupun Emiliano Martinez.
Masalah di posisi itu dilihat begitu ketara kerana penjaga gol kedua United, Altay Bayindir belum bersedia untuk mengisi tempat pilihan utama, Andre Onana yang mengalami kecederaan.
Disebabkan itu, hierarki tertinggi United menjadikan Lammens yang beraksi bersama Royal Antwerp di Belgium sebagai pengganti jangka masa panjang dan dikatakan telah bersetuju dengan terma-terma kontrak.
Difahamkan, skuad bimbingan Ruben Amorim itu cuma perlu membayar £20 juta (RM113.58 juta) buat servis penjaga gol berusia 23 tahun tersebut.
Situasi itu tidak menggembirakan Foster dan masih berharap bekas kelabnya membeli salah seorang antara Donnarumma atau Martinez yang memiliki pengalaman cukup luas di peringkat kelab serta negara.
“Anda Manchester United, jadi anda perlu membeli Donnarumma atau Martinez keraba perbezaannya cukup ketara, termasuk dari segi tahap prestasi mereka.
“Dia (Lammens) kelihatan sebagai seorang penjaga gol muda yang bagus tetapi anda tidak boleh hanya memetik seseorang dan mengharapkan dia menjadi berkelas dunia.
“Ini adalah Liga Perdana Inggeris dan anda kelab besar seperti Manchester United. Ia akan menjadi satu keajaiban dunia jika ia berlaku dalam sekelip mata,” kata Foster. – AGENSI