KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat esok.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, RUU berkenaan akan tetap dibentangkan walaupun mendapat tentangan pembangkang.
“Suara rakyat suara keramat. Kerajaan Madani memilih untuk teguh berdiri bersama rakyat, bukan parti-parti politik yang memainkan sentimen.
“Kita nak politik yang membina. Rakyat bersama kita,” katanya ketika menerima memorandum sokongan terhadap PSB oleh sekumpulan individu di pintu masuk Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Semalam, blok pembangkang menegaskan semua 68 Ahli Parlimen mereka akan menentang RUU PSB habis-habisan apabila dibentangkan di Dewan Rakyat.
Mereka mendesak supaya ia ditarik balik dan sedia berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.
RUU URA dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Kor Ming pada 21 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE