SHAH ALAM – Reda dengan pemergian insan tercinta, penyanyi Anuar Zain memaklumkan kesihatan bapanya, Zain@ Zin Abdullah yang menghidap kanser prostat sejak Disember 2024 semakin merosot tiga minggu lalu.
Katanya, mereka lima beradik termasuk kakak sulung, Ziana bergilir menjaga bapa bersyukur apabila kesemua anak cucu berada di sisi arwah pada saat akhir pemergiannya di rumah mereka di Shah Alam, pukul 2.50 petang tadi.
“Arwah meninggal dunia di rumah dan disahkan paramadik. Ayah memang mengidap kanser prostat. Kami dapat tahu pada Disember tahun lepas dan sel kanser sudah merebak. Sebelum ini, arwah ayah ada jalani rawatan prostat tapi tiada tanda serangan barah.
“Arwah sudah menderita sakit agak lama tapi Allah juga beri kami adik-beradik keizinan untuk menjaganya. Kami bergilir jaga dan reda dengan pemergian Allahyarham.
“Saya tidak terkilan kerana segalanya dipermudahkan dari urusan di rumah sehingga proses pengebumian,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online.
Bercerita mengenai momen terakhir bersama arwah, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 55, memaklumkan dia berada di rumah sebelum bapanya meninggal dunia.
Malah akuinya sepanjang sakit kesemua adik-beradik sentiasa memberi perhatian penuh dalam menjaga bapa mereka.
“Dia selalu cakap minta maaf kepada kami semua sebab selalu menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak langsung.
“Sejak dahulu lagi dia tak pernah suruh anak-anak buat apa-apa. Dia sangat berdikari. Bila lihat dia sakit, saya sedih.
“Apa pun syukur sangat kami lima beradik sempat menjaganya dan menemani ayah sepanjang tempoh ini,” ujarnya.
Turut memanjatkan kesyukuran pengebumian bapanya dipermudahkan, Anuar berkata, semua urusan selesai dalam tempoh kurang lima jam.
“Alhamdulillah segala urusan arwah dipermudahkan. Segala proses hanya mengambil masa bawah lima jam. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar.
Proses mandikan jenazah juga mudah dan pantas. Pihak masjid juga dapat menyempurnakan segala-galanya dengan baik.
“Kata orang, jika urusan kematian seseorang itu dipermudahkan, itu bermakna orang itu sangat dikasihi Allah SWT,” katanya.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam, sekitar pukul 7 malam. – KOSMO! ONLINE