WALAUPUN masih dibelenggu kecederaan bahu, jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan tetap berbangga apabila berjaya membawa pulang pingat pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India kelmarin.
Badang kelahiran Johor itu mengakui pencapaian dalam kategori baharu bawah 60 kilogram (kg) itu sangat bermakna, lebih-lebih lagi ketika dirinya masih belum pulih sepenuhnya.
“Kecederaan saya alami memang mengganggu sebab saya ada dua minggu sahaja untuk melakukan latihan penuh. Secara keseluruhannya saya berpuas hati membawa pulang pingat. Alhamdulillah, keadaan semakin bertambah baik,” kata Aniq.
Dalam saingan itu, Aniq melakukan angkatan 111kg dalam acara snatch dan 142kg bagi clean and jerk membolehkannya berada di kedudukan kedua untuk meraih perak.
Jumlah keseluruhan 253kg itu meletakkannya di kedudukan ketiga dengan India mendominasi saingan menerusi Rishikanta Singh Chanambam (271kg) dan Arumugapandian Maharajan (254kg) meraih tempat pertama dan kedua.
Atlet berusia 23 tahun itu sebelum ini disahkan mengalami koyak otot bahu kanan berdasarkan laporan Institut Sukan Negara (ISN), namun tetap memilih untuk beraksi demi mengutip mata kelayakan penting ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Kini, Aniq tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya fokusnya terarah kepada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Forde, Norway dari 2 hingga 11 Oktober depan.
“Saya anggap perak ini sebagai pembakar semangat. Saya mahu bangkit lebih kuat di Norway nanti,” jelasnya.
Sementara itu, atlet angkat berat remaja wanita negara, Irene Jane Henry turut menghadiahkan pingat perak selepas mencatat jumlah angkatan 161kg dalam kategori 48kg.
Pingat emas dimenangi bintang India, Mirabai Chanu Saikhom (193kg), manakala gangsa menjadi milik Nikole Roberts dari Wales (150kg). – KOSMO! ONLINE