PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian seorang pelajar lelaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan terperinci akan dijalankan meliputi semua aspek berkaitan termasuk dakwaan insiden itu mempunyai kaitan dengan salah laku buli.
“KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Katanya, KPM turut menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga proses siasatan selesai.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Keputusan imbasan CT scan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.
Susulan itu, keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira pukul 5 pagi tadi bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menyiasat secara terperinci berhubung kes berkenaan.
Jelas beliau, siasatan meliputi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama dan latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakannya. – KOSMO! ONLINE