fbpx
Dharshan (kiri) merupakan ketua platun bagi pasukan kadet polis di sekolahnya.

Kawad kaki ajar Dharshan disiplin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAWAD kaki merupakan aktiviti berbaris dan bergerak secara seragam yang biasanya dilakukan oleh pasukan beruniform seperti Kadet Remaja Sekolah (KRS), polis atau bomba.

Aktiviti tersebut bukan sekadar berjalan lurus atau berdiri tegak, sebaliknya menuntut disiplin, koordinasi dan kerja berpasukan yang baik.

Atas dasar itu, Dharshan Sri Nair Sri Murugan, 16, memilih aktiviti itu sebagai hobi yang dilakukannya di luar waktu pembelajaran di sekolah.

“Sewaktu tingkatan tiga, saya mencari aktiviti yang boleh dibuat pada masa lapang. Jadi, saya mula terlibat dalam kawad kaki apabila menyertai Kadet Remaja Sekolah (KRS).

“Selepas itu, saya rasa tertarik dengan aspek disiplin yang dipupuk dalam aktiviti ini.

“Disebabkan itu, saya ajak juga kawan-kawan lain untuk sertai aktiviti ini,” katanya kepada K-Remaja.

Kini, Dharshan tidak lagi menyertai KRS, sebaliknya dia aktif dalam dua unit beruniform iaitu kadet polis dan kadet bomba.

Menariknya, pelajar Sekolah Menengah Dato’ Md Said, Nilai, Negeri Sembilan itu melakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga terpilih mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan.

Dalam pertandingan kawad kadet polis, pasukannya meraih tempat kedua di peringkat daerah.

Hasil kejayaan itu, Dharshan bersama tiga rakannya telah terpilih untuk bertanding ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, dalam pertandingan kawad dalam talian kadet bomba, pasukan sekolahnya menjadi johan peringkat daerah dan naib johan peringkat negeri.

Kini, pasukannya sedang bersaing di peringkat kebangsaan.

Lebih membanggakan, Dharshan dipilih menjadi ketua platun bagi pasukan kadet polis sekolahnya.

Sebagai ketua platun, Dharshan bertanggungjawab memantau barisan bagi memastikan setiap anggota mengikuti gerakan dengan tepat.

Katanya, tugas tersebut menuntut kesabaran, ketelitian dan kemahiran memberi arahan dengan jelas.

“Saya berperanan mendidik rakan-rakan baharu termasuk pelajar-pelajar kurang berdisiplin yang menyertai aktiviti kawad.

Dharshan (belakang, tengah) turut aktif dalam kadet bomba.

“Tujuannya supaya mereka dapat menyesuaikan diri dan memberi persembahan terbaik dalam latihan serta pertandingan,” katanya.

Mengulas mengenai jenis kawad kegemarannya, Dharshan berkata, dia lebih gemar kawad dinamik berbanding kawad statik.

Kawad dinamik melibatkan pergerakan ke pelbagai arah dan formasi yang berubah-ubah, manakala kawad statik hanya melibatkan berdiri di satu tempat.

Baginya, kawad dinamik lebih menyeronokkan dan mencabar kerana setiap pergerakan memerlukan fokus tinggi, koordinasi yang tepat dan perhatian terhadap rakan sepasukan.

“Kawad dinamik juga lebih mencabar kerana setiap anggota perlu menyesuaikan diri dengan formasi yang berubah-ubah dan pergerakan rakan sepasukan,” katanya.

Minatnya dalam kawad kaki juga selari dengan cita-citanya di masa depan iaitu menjadi anggota polis atau tentera.

Dharshan berharap dia dapat terus aktif berkawad di peringkat universiti dan meneruskan penglibatan dalam aktiviti yang mendidik disiplin, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

Kongsi Dharshan, minat itu juga membuka peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang, menjalin persahabatan dan membina semangat berpasukan.

“Ada ibu salah seorang pelajar yang juga anggota kawad di sekolah datang jumpa saya dan cakap terima kasih kerana perangai anaknya sudah banyak berubah.

“Duhulu, dia suka lepak dengan kawan-kawan dan bermain motosikal. Namun kini, pelajar itu fikir pasal kawad saja dan perangainya juga sudah berubah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN