IPOH – Cubaan menyeludup tongkeng ayam dari China melalui Pelabuhan Klang, Selangor gagal apabila tindakan itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam operasi pada 12 Ogos lalu.
Pengarahnya, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang disyaki membawa barang larangan kastam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 14,004 peket ‘frozen chicken tails’ atau tongkeng ayam dengan berat 29,000 kilogram (kg) berada dalam kontena berkenaan.
“Berdasarkan semakan, pengimport tidak mempunyai sebarang permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Bahkan, syarikat yang membawa masuk barang dari China itu juga bukan syarikat yang berada dalam senarai Maqis selain status halal yang mencurigakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, nilai barangan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM275,500 dengan duti sebanyak RM13,775.
“Modus operandi digunakan suspek adalah mengimport dagangan tanpa permit. Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a)Akta Kastam 1967,” katanya.
Mohd. Nadzri berkata, selain tongkeng ayam, pihaknya turut membuat rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras serta beras dalam tiga operasi berasingan antara 6 hingga 14 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE