MELAKA – Seorang mak nyah direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, Ahad lalu.
Perintah reman sehingga 29 Ogos itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek yang berusia 36 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang apabila suspek yang berpakaian pakaian wanita tiba-tiba menyerang mangsa berusia 40-an di Jalan Melaka Raya, Banda Hilir di sini.
“Suspek dikatakan datang dari arah belakang sebelum tiba-tiba menetak mangsa menggunakan pisau pemotong daging.
“Melihat mangsa cedera, dia kemudian berubah menjadi panik dan berlari ke Balai Polis Banda Hilir untuk memaklumkan kejadian sebelum anggota polis menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Tambahnya, susulan kejadian itu, polis telah menahan suspek pada pukul 12 tengah hari semalam dan permohonan reman dibuat pagi ini.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Melaka. Semakan lanjut mendapati, suspek yang berasal dari Kuala Lumpur mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk berkaitan dadah,” katanya.- KOSMO! ONLINE