BANGKOK – Sekumpulan lelaki warga China bersama pekerja Thai mereka menyerang seorang jiran keturunan China-Kemboja di Chon Buri kerana makan ketam bernilai 4,000 baht (RM518) yang tersilap dihantar ke rumahnya, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Serangan itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) Jumaat lalu, manakala mangsa dikenali sebagai Mar Tu telah membuat laporan di Balai Polis Nong Prue.
Dia yang dipukul penyerang menambah, tukang kebunnya berbangsa Thailand juga cedera ketika cuba mempertahankannya.
Semalam, seorang suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun dikenali sebagai Wanchai menyerah diri kepada polis.
Dia mengaku bekerja untuk warga China tersebut dan merupakan salah seorang suspek dalam serangan itu.
Wanchai mendakwa perselisihan itu berlaku selepas ibu majikannya menghubungi sebuah restoran dan mendapati ketam itu telah dihantar ke alamat rumah Mar.
Menurut Wanchai, apabila majikannya bertanya, Mar menjawab dengan kasar dan berkata: “Saya sudah makan kesemuanya. Apa masalahnya?
Keadaan kemudian menjadi tegang kerana Mar memberikan jawapan yang biadap.
Polis masih menyiasat kes itu sedang berusaha mengenal pasti semua suspek warga China dan Thailand yang terlibat. – AGENSI