KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang memperuntukkan penubuhan jawatan Ketua Pembelaan Awam serta Pembela Awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, RUU berkenaan antara lain membantu golongan miskin dan kanak-kanak, orang kelainan upaya dan tertuduh yang tidak mampu mendapatkan peguam sendiri.
“Ia bermakna individu menghadapi pertuduhan jenayah dan tidak mampu mendapatkan khidmat peguam akan mempunyai akses kepada khidmat pembelaan awam di bawah RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
“Satu langkah yang progresif ke arah memastikan prinsip keadilan substantif dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini dengan suara majoriti selepas dibahas oleh 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Azalina berkata, peranan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), tidak akan diketepikan dengan kewujudan RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
Menurut beliau, rekod bantuan kewangan sudah diperoleh YBGK sejak mula ditubuhkan pada 2011 hingga tahun lalu malah melebihi RM100 juta.
Jelas beliau, RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 akan melibatkan penambahan beberapa jawatan baru dan juga lantikan pegawai pembela awam.
“Bagi kemudahan pejabat dan kelengkapan pula, ia akan menggunakan kemudahan pejabat, peralatan dan kelengkapan sedia ada di semua cawangan Jabatan Bantuan Guaman (JBG),” katanya. – KOSMO! ONLINE