KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani komited mengurangkan defisit fiskal dan hutang baharu negara, meskipun isu tersebut sering dijadikan polemik politik bagi pihak pembangkang selama ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara berkata, defisit fiskal berjaya diturunkan daripada 5.6 peratus kepada 4.1 peratus dan diunjurkan susut lagi kepada 3.8 peratus tahun hadapan.
“Setengah rakan-rakan saya sebelah sana dia kata hutang bertambah, tidak benar, hutang baharu kerajaan kurang, saya dah baca banyak kali iaitu hutang daripada RM100 bilion turun RM90 turun RM80 turun RM70 bilion itu yang kita lakukan.
“Namun, hutang keseluruhan dengan bunga yang bukan kita pinjam yang kita warisi itu bertambah sehingga kita boleh turun lagi jumlah hutang baharu, baru dia berkembang, jadi janganlah kata kerajaan sekarang hutang baharu, tidak betul,” jelas Anwar di Dewan Negara.
Tambah beliau, sasaran lima tahun akan datang adalah bagi menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus, mengekalkan paras hutang di bawah 60 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jelas Anwar, kerajaan turut menyasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM77,200 pada tahun 2030 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.
Dalam RMK13 di bawah rancangan Reformasi Pengurusan Projek dan Fiskal antara langkah strategik yang dilaksanakan kerajaan ialah meminimumkan perbelanjaan tidak mendesak bagi mencapai defisit fiskal di bawah tiga peratus menjelang 2030.
Dalam pada itu, kerajaan turut bercadang mengawal jaminan pinjaman kepada syarikat milik kerajaan dengan lebih ketat dan melaksanakan rasionalisasi subsidi secara bersasar dan berperingkat. – KOSMO! ONLINE.