IPOH – Hampir RM39 juta setahun dikembalikan kepada rakyat melalui subsidi dan rebat penggunaan air di negeri ini menerusi tadbir urus Lembaga Air Perak (LAP).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelarasan tarif air telah berlaku di beberapa negeri bermula Ogos 2025.
Namun katanya, negeri Perak mengekalkan kadar yang telah ditetapkan sejak Mei 2024 selepas pelarasan terakhir pada tahun 2006.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keupayaan kewangan LAP,” katanya semasa menyampaikan sembah ucapan dalam majlis perasmian Menara Air Perak di sini hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Menara Air Perak, iaitu ibu pejabat baharu milik LAP setinggi 14 tingkat. Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Saarani berkata, pengembalian itu termasuklah 25 meter padu percuma untuk golongan miskin, 10 meter padu percuma untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan, serta rebat RM4 bagi 10 meter padu pertama setiap bulan untuk semua pengguna domestik. – KOSMO! ONLINE