LONDON – Sejumlah netizen keliru selepas melihat gambar yang dirakam oleh seorang nenek di dalam sebuah pasar raya, lapor portal berita Daily Record semalam.
Dalam gambar itu, dia merakamkan cucu lelakinya berumur dua tahun duduk di dalam troli, namun apa yang terjadi adalah membingungkan.
Hantaran di platform Reddit menunjukkan gambar pantulan imej budak lelaki itu di cermin yang sedang duduk di dalam troli sambil minum daripada cawan.
Namun, realiti yang berlaku ketika gambar dirakam itu ialah cucunya hanya memegang cawan dan tidak minum.
“Disebabkan menggunakan iPhone (telefon bimbit), 2 daripada 3 gambar adalah foto masa sebenar menunjukkan anak saya menggoyangkan cawannya ,” tulis si ibu yang mendedahkan kejadian pelik itu di platform Reddit.
Hantaran itu kemudian mendapat pelbagai komen daripada netizen dengan ada yang menulis: “Dia (budak itu) seorang ahli sihir.”
Namun seorang netizen memberikan penjelasan: “Ya, apabila rakam gambar di iOS (sistem operasi iPhone), ia bukan hanya satu foto, tapi ia merakamkan beberapa bingkai (gambar) sebelum dan selepas butang (iPhone) ditekan.
“Sistem kemudian gabungkan bahagian terbaik setiap bingkai untuk menjadi satu gambar.
“Jadi, mungkin ketika dia menggerakkan cawan dengan cepat, imej paling jelas untuk bahagian pantulan ialah sebelum pergerakan bermula (cawan berada di mulut).” – AGENSI