fbpx
Wakil JPN mengambil gambar Mastaliza (dua dari kanan) sebagai salah satu proses untuk menukar Mykad ketika hadir di kediaman ibu bapanya di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai, Gua Musang kelmarin.

Nasib baik JPN datang rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kesukaran pasangan ibu bapa Orang Asli untuk menukar Mykad anak mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak 11 tahun lalu ber­akhir apabila dikunjungi ­wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai di sini kelmarin.

Mulian Alok, 54, berkata, sebelum ini dia dan isteri sukar berbuat demikian apabila bukan sahaja sebab anaknya, Mastaliza, 29, sakit terlantar, malah rumah mereka terletak kira-kira 90 kilometer (km) dari bandar.

Katanya, dia lega apabila kakitangan JPN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim hadir ke rumahnya di Kampung Bihai Lama.

“Kami sukar untuk membawa Mastaliza selepas dia mencecah usia 18 tahun ke bandar kerana keadaan fizikalnya dan laluan jalan tanah yang rosak.

“Saya dan isteri sudah menanti selama 11 tahun untuk menukar MyKad Mastaliza dan akhirnya hasrat itu tercapai,” katanya selepas menerima kunjungan rombongan JPN Kelantan bersama Mohd. Syahbuddin di rumahnya di Kampung Bihai Lama di sini kelmarin.

Mulian memberitahu, anak­nya diserang penyakit sawan ketika berusia setahun selepas mengalami demam panas.

Katanya, Mastaliza yang dilahirkan normal mengalami kekejangan pada anggota badan sehingga tidak boleh berjalan dan bercakap.

“Saya bersyukur apabila isteri bersama anak yang lain bergilir-gilir menjaga dan menguruskan Mastaliza.

“Mastaliza dijaga sepenuhnya seperti bayi dan hanya memakan makanan lembut serta perlu memakai lampin pakai buang pada setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah JPN Kelantan, Hezri Othman berkata, melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) membantu ramai golongan yang memerlukan seperti warga emas, OKU, pesakit terlantar, pesakit mental yang tiada keupayaan untuk hadir ke pejabat JPN untuk mendapatkan perkhidmatan.

Katanya, bagi kes Mastaliza, pemohon sudah membuat MyKad pada usia 12 tahun dan perlu membuat gantian kad ­pengenalan.

“Mengikut Peraturan 18, Pera­turan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap orang yang telah mencapai umur 18 tahun dan memiliki kad pengenalan bertaraf Warganegara atau Pemastautin Tetap perlu membuat gantian kad pengenalan selewat-lewatnya apabila mencapai umur 25 tahun.

“Kita telah mengesan pemohon adalah pesakit terlantar dan tidak dapat hadir ke pejabat JPN terdekat.

“Menerusi program Mekar, kami akan turun padang menawarkan khidmat yang diperlukan oleh pemohon,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN