fbpx
Salehuddin.

Budaya rasuah tiada tempat dalam pentadbiran Islam – MAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan budaya rasuah tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Islam.

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, MAIS memandang serius sebarang salah laku yang melibatkan integriti dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, MAIS menyokong tindakan tegas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengambil tindakan pantas atas aduan awam dengan melaporkan terus aduan salah laku rasuah ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa.

“Tindakan ini menunjukkan ketegasan JAIS dalam memastikan setiap pegawai mematuhi prinsip integriti dan amanah yang tinggi.

“Ini selaras dengan komitmen MAIS untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyelewengan, khususnya dalam pengurusan hal ehwal Islam di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pembantu hal ehwal JAIS mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan rasuah bernilai RM8,000 bagi mengurangkan bayaran kompaun sebuah syarikat disiasat bahagian pengurusan halal, dua tahun lalu.

Tegas Salehuddin, MAIS sentiasa komited memastikan dan meningkatkan tadbir urus yang berintegriti dan telus dalam melaksanakan amanah mengurus hal ehwal Islam di negeri ini.

Justeru katanya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej institusi Islam dan kepercayaan masyarakat terhadap MAIS dan Jabatan Hal Ehwal Islam di Selangor akan ditangani secara tegas mengikut undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa, diseru untuk terus melaporkan kepada pihak MAIS, JAIS dan pihak berkuasa yang berkaitan.

“MAIS turut menyeru semua agensi dan pegawai di bawah seliaannya untuk memelihara amanah serta menjunjung nilai integriti dalam setiap tanggungjawab yang dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI