KAJANG – Seorang wanita warga emas terselamat daripada ajal apabila cedera ringan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu terbabas sebelum terjunam dalam longkang di Bandar Damai Perdana, Balakong di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.54 petang.
“Lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi yang terletak lima kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam longkang. Terdapat seorang mangsa wanita berusia dalam lingkungan 60-an berada dalam Myvi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wanita itu berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE