LEBIH kompak dan sesuai dengan jiwa pengguna muda merupakan gambaran bagi model kedua kenderaan elektrik (EV) nasional, Proton e.MAS 5 yang bakal dilancarkan hujung tahun ini.
Model hatchback ini dihasilkan bagi memenuhi keperluan generasi muda yang mahukan gaya hidup moden, mobiliti hijau dan paling penting harganya mampu milik.
Baru-baru ini, Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat Proton telah memberi ‘teaser’ tentang e.MAS 5 dalam sesi pratonton khas yang diadakan untuk pihak media.
Dibangunkan hasil kerjasama Proton dan syarikat automatif China, Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely), e.MAS 5 dibina menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) sama seperti e.MAS 7.
Dari segi dimensi, model elektrik ini berukuran 4,135 milimeter (mm) panjang, 1,805mm lebar, 1,580mm tinggi dan jarak antara roda sepanjang 2,650mm.
Sekali imbas, penulis melihat model hatchback terbaharu ini mirip Smart #1 dengan saiz yang lebih kecil.
Pengenalan e.MAS 5 ini menyasarkan golongan pemandu muda dan pembeli EV kali pertama.
Malah, ia dilihat praktikal untuk pemanduan bersama keluarga di bandar kerana saiznya yang kompak, namun aspek keselesaan tidak dilupakan.
Dari segi spesifikasi, satu varian disahkan untuk e.MAS 5 iaitu Premium, namun kemungkinan akan ada varian Prime seperti e.MAS 7.

Varian e.MAS 5 Premium dilengkapi dengan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) keluaran CATL berkapasiti 40.16 kWh dengan jarak gerak sejauh 325km untuk sekali cas penuh mengikut data WLTP.
Proton e.MAS 5 menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 71kW iaitu bateri boleh dicas 30 hingga 80 peratus sepantas 21 minit sahaja.
Ia dipacu unit janaan kuasa iaitu motor elektrik ‘11 dalam 1’ yang memacu roda belakang dengan output kuasa 85kW dan tork maksimum 150Nm.
EV nasional kedua ini boleh memecut dari pegun hingga 50 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.9 saat.
Ruang simpanannya juga luas, dengan frunk 70 liter di hadapan dan bonet 375 liter di belakang, sesuai untuk anak muda aktif yang sentiasa bergerak.
Malah, ruang bonet belakang boleh mencapai sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Selain itu, e.MAS 5 juga lengkap dengan stereng elektrik dan sistem suspensi bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut dan di belakang dengan jenis multi-link untuk keselesaan optimum. Untuk rim pula, varian Premium ini menggunakan saiz 16-inci, dengan saiz tayar 205/60.
Lebih menarik, Pro-Net menjanjikan pengalaman pemanduan penuh teknologi dengan skrin infotainment besar 14.6 inci, sistem bantuan pemandu pintar, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan kereta ini menjadi ‘power bank bergerak’ ketika berkhemah.
Sedikit tentang ciri atau kelengkapan yang menurut Proton merupakan hanya ditawarkan oleh e.MAS 5 termasuklah pemilih gear kristal, roda stereng dua-tona, ruang storan di bawah kerusi dengan kapasiti 28 liter.
Apa yang penulis suka adalah, e.MAS 5 ini merupakan EV pertama di Malaysia yang mempunyai kawalan suara dalam bahasa Melayu selain bahasa Inggeris.
Dari segi harga pula ia belum didedahkan secara rasmi tetapi dikatakan di bawah RM100,000.

Pada pandangan penulis, e.MAS 5 bukan sekadar kereta, tetapi simbol gaya hidup baharu dengan emisi sifar karbon dan mesra alam. Saiznya yang kompak direka untuk pemanduan harian di bandar dan dijangka bakal mencuri perhatian apabila dilancarkan kelak.
Dalam pada itu, pada sesi pratonton kepada media itu, selain menunjukkan teaser model e.MAS 5 sebenar yang tidak dibenarkan penayangan penuh, turut dipamerkan ialah e.MAS 5 versi jelajah yang bakal menjelajah lima wilayah di seluruh negara bermula Ogos hingga Oktober 2025 menerusi Jelajah Misi 5.
Jelajah Misi 5 bertujuan membawa pengalaman EV kepada rakyat Malaysia. Orang ramai berpeluang melihat dan merasai sendiri kecanggihan e.MAS 5 lebih awal sebelum pelancarannya yang dijadualkan pada hujung tahun ini.
Pratonton eksklusif e.MAS 5 akan diadakan di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan serta di bilik pameran Proton di 13 negeri.
Terdahulu, Malaysia melakar detik bersejarah apabila berjaya melancarkan kenderaan EV pertama negara menerusi model Proton e.MAS 7 pada 16 Disember lalu di Kuala Lumpur.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik itu bersaiz 4,615mm panjang, 1,901mm lebar, 1,670mm tinggi dan jarak antara roda sepanjang 2,750mm.
















