KUALA TERENGGANU – Bunyi deruman enjin dan ekzos motosikal Yamaha RXZ mula memecah suasana di bandar raya negeri ini sejak awal pagi semalam dengan ribuan peserta program RXZ Members 7.0 mula membanjiri Terengganu.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati hampir setiap sudut jalan-japan utama sekitar bandar raya ini termasuk Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Angkat Kuala Terengganu serta sekitar pusat bandar dipenuhi konvoi RXZ yang bergerak menuju ke lokasi himpunan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.
Keadaan lalu lintas yang lazimnya lengang bertukar sibuk dengan kehadiran penunggang dari seluruh pelosok tanah air.
Fenomena itu sekali gus memberi warna baharu kepada bandar raya ini yang kini menjadi tumpuan utama peminat motosikal dua lejang paling ikonik tersebut.
Pengarah Program RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan berkata, kemuncak kehadiran peserta pada petang semalam dengan sebahagian besar kira-kira 100,000 peserta mula memenuhi Litar Permotoran Terengganu.
“Berdasarkan rekod pendaftaran, kita menganggarkan lebih 100,000 peserta akan memenuhi kawasan ini (litar permotoran) menjelang malam ini (semalam) dan esok (hari ini).
“Angka ini melepasi penyertaan tahun lalu iaitu sekitar 60,000 sekali gus membuktikan RXZ Members terus menjadi program ikonik yang dinanti-nantikan peminat motosikal ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd Lukhman berkata, keadaan trafik setakat ini terkawal hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, aliran trafik di sekitar bandar raya ini lebih lancar berbanding jangkaan awal berikutan kawalan rapi pihak berkuasa serta pematuhan daripada peserta.
“Terima kasih kepada pihak keselamatan khususnya Polis Terengganu kerana memberi kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran penganjuran.
“Kita percaya program ini akan memberi impak positif ini secara terus kepada sektor pelancongan dan perniagaan di Terengganu,” katanya.
Program RXZ Members 7.0 selama dua hari sehingga hari ini menawarkan pelbagai aktiviti termasuk tawaran diskaun saman trafik sehingga 50 peratus oleh PDRM serta program pertukaran topi keledar lama kepada yang baharu. – KOSMO! ONLINE.