KELANTAN The Real Warrior (TRW) tekad untuk meneruskan momentum kemenangan dengan melakar keputusan positif pada aksi Liga Super bertemu Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Pengendali pasukan, E. Elavarasan mengakui kemenangan diraih ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Piala FA awal minggu ini telah melonjakkan motivasi pemain.
Kata Elavarasan, pertemuan dengan Sabah tidak boleh diambil mudah kerana lawan sudah lama bermain di pentas Liga Super dan boleh dianggap antara pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan.
“Dalam bola sepak, setiap perlawanan dihadapi bukan mudah dan kita perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap setiap perlawanan.
“Atas kertas, Sabah jelas pasukan lebih baik daripada kita. Namun, saya percaya dengan prestasi semasa, kita mampu untuk mengekang jika semua pemain dapat pamerkan seratus peratus di atas padang,” katanya.
Bekas penolong ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu turut memuji pertahanan pasukan, Wan Amirul Afiq Wan Rahman yang tampil cemerlang pada tiga perlawanan kompetitif awal musim ini.
Kata Elavarasan, bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) berusia 33 tahun itu cukup berpengalaman dan memiliki kelebihan beraksi di pelbagai posisi pertahanan.
“Saya lihat Amirul pemain yang matang dan mampu berikan yang terbaik setiap kali diturunkan. Walaupun selesa dengan posisi bek kanan, dia juga boleh bermain baik selaku pertahanan tengah jika diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE