fbpx
Penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan.

Bolehkah gelar orang bukan Islam kafir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASSALAMUALAIKUM, baru-baru ini kita dihebohkan berkenaan gelaran non-Muslim dan kafir untuk orang bukan Islam. Ada yang kata lebih baik guna gelaran bukan Islam kerana lebih lembut. Adakah boleh mengharamkan orang lain menyebut perkataan kafir?

JAWAPAN: ISTILAH kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan ia merupakan lafaz yang telah disebutkan pada banyak tempat dalam al-Quran dan hadis. Istilah ini merujuk kepada golongan yang tidak mengakui Allah SWT sebagai Tuhan, tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak kewujudan hari kebangkitan. Ia melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran, ia tidak akan berubah.

Berdasarkan pendekatan dalam fiqh mizan, penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.

Usaha sesetengah pihak yang menggunakan gelaran seperti non-Muslim ketika berinteraksi merupakan salah satu uslub dalam berdakwah kepada golongan bukan Islam.

Melalui pendekatan mizan yang berlainan ini, umat Islam berupaya mendepani pelbagai isu dengan pendekatan seimbang.

Mengharamkan langsung penggunaan istilah kafir dalam kehidupan seharian bukanlah tindakan yang tepat. Namun, jika larangan tersebut dilakukan atas dasar dakwah dan hidup bermasyarakat, maka ia adalah selari dengan tuntutan umum al-Quran yang memerintahkan supaya berdakwah kepada orang bukan Islam dengan penuh hikmah.

Secara umumnya, terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang menyebut perihal golongan kafir, menjelaskan maksud orang kafir dan ciri-ciri mereka.

Antaranya menerusi firman Allah SWT: “Orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (daripada kepercayaan dan amalan masing- masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.” Surah al-Bayyinah (1)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini memberi gelaran kafir kepada golongan Ahl al-Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta kaum musyrikin iaitu mereka yang menyekutukan Allah SWT.

Sesungguhnya agama yang diterima disisi Allah SWT adalah Islam, manakala agama lain seperti Yahudi, Nasrani dan agama orang musyrik tidak diterima. Malah, sesiapa yang berbuat baik dari kalangan orang-orang kafir tidak terlepas daripada azab Allah SWT di akhirat kelak.

Selain itu, Imam al-Qurtubi menerangkan dengan lebih spesifik bahawa ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi di Madinah ketika zaman Nabi Muhammad SAW terutamanya Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’, serta orang musyrikin Mekah dan beberapa orang musyrikin di Madinah.

Kedua-keduanya memiliki persamaan iaitu menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, lalu diberikan gelaran kafir.

Berdasarkan penjelasan tafsir di atas, al-Quran memberi gelaran kafir kepada golongan Ahl al-Kitab yang terdiri daripada orang Yahudi dan Nasrani serta golongan musyrik yang menyekutukan Tuhan selain Allah SWT dan tidak menerima kenabian nabi Muhammad SAW.

Dengan itu, gelaran kafir adalah gelaran yang tepat bagi golongan bukan Islam, bahkan ia tidak termasuk dalam bentuk penghinaan terhadap mereka.

Kesimpulannya, istilah kafir’merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan ia merupakan lafaz yang telah disebutkan pada banyak tempat dalam al-Quran dan hadis.

Istilah ini merujuk kepada golongan yang tidak mengakui Allah SWT sebagai Tuhan, tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak kewujudan hari kebangkitan.

Berdasarkan pendekatan dalam fiqh mizan, penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI